Sedihnya tahun ini kita tidak berpeluang merayakan sambutan Tahun Baru Cina 2021 bersama dengan seluruh ahli keluarga kerana kekangan PKP yang dilaksanakan. Ini kerana untuk mengekang penularan wabak Covid-19 daripada menjadi lebih teruk. Oleh kerana sebab nih, maka tahun nih saya buat sendiri salah satu hidangan makan besar iaitu Poon Choi.

chinese new year pen chai easy recipe


Poon Choi [ Fortune Treasure Pot ] Untuk CNY Family Dinner 2021 :


'Poon Choi' atau Pen Cai ni mengikut sejarah bermula sebagai hidangan Tahun Baru Cina tradisional di Hong Kong serta amat penting bagi masyarakat Hakka dan Kantonis di seluruh dunia. Disebabkan oleh ramuan-ramuan lazat yang dihidangkan sekali dalam satu bowl maka dikira diantara salah satu jenis masakan yang sangat istimewa. 

Biasanya, mak mertua yang akan sediakan hidangan ini dan saya biasalah lebih kepada memerhati dan membantu ditepi sahaja. Tapi, alhamdulillah mertua tak pernah lokek untuk berkongsi ilmu dan tips memasak pelbagai masakan Cina.

Antara bahan-bahan yang diperlukan untuk Poon Choi ini termasuklah ;

  • Udang harimau
  • Ayam panggang
  • Abalone - saya ganti dengan hirisan sotong dengan sos abalone
  • Cendawan shittake
  • Scallop
  • Kubis cina
  • Brokoli hijau
  • Lobak putih

poon choi ingredients
Bahan makanan disediakan dulu awal-awal


Abalone tu saya dah order yang halal dalam tin, tapi tiada rezeki sampai sebelum hari makan besar disebabkan masalah delay dalam penghantaran. Jadi saya ganti dengan hirisan sotong yang diperap dalam sos abalone. Ayam panggang tu saya beli yang dah siap dekat pasaraya Giant. 

Udang harimau tu salut sikit dengan garam dan lada putih dan perap sekejap. Lepas tu goreng kejap hingga separuh masak. Sayur-sayur tu direbus sekejap dalam lima minit dan terus rendam dalam air sejuk (berais) - Blanch. Ini bertujuan untuk pastikan ianya tidak terlalu layu dan kekalkan nutrisinya.

Udang Harimau Goreng


Untuk melapis, saya gunakan mangkuk seramik tahan panas berukuran 21 cm (diameter). Inipun mak mertua saya yang bagi masa awal-awal kahwin dulu. Kuah untuk Poon Choi mula-mula saya tumis bawang putih (hiris halus) dengan halia. Kemudian tambahkan cendawan shitake dan goreng sekejap.

Kemudian, tambah air dan rebus seketika. Tambahkan sos abalone dua sudu dan sos tiram juga dua sudu. Rebus sehingga pekat dan masukkan bahan-bahan seafood diatas dan rebus hingga masak.

Keluarkan bahan seafood dari kuah dan asingkan untuk disusun nanti dalam mangkuk. Kuah direbus lagi dan tambah sedikit bancuhan tepung jagung untuk lebih pekat.

1- Lapisan 1 (bawah): 

Lobak putih, kulit ayam/itik goreng atau BBQ, kubis cina, kulit tauhu goreng  ataupun akar teratai. Nampk macam complicated kan? Saya cuma letak lapisan kubis cina sahaja dengan lobak putih.

2- Lapisan 2 (tengah): 

Hirisan sotong,  cendawan shiitake atau jenis cendawan lain pun boleh juga.

3- Lapisan 3 (Atas)

Abalone, brokoli, ayam panggang atau kukus, cendawan shittake, udang harimau, fat choy (lumut hitam), isi ikan, atau apa juga yang dirasakan sesuai. Kali ni saya buat tak banyak pun bahannya, jadi at last ikut suka hati jugalah hasil yang ada. haha !

poon choi easy recipe
Gambar sebelum dituang dengan kuahnya


Dah pun siap ! Maka makanlah kami anak-beranak bersama kali ini. Semoga tahun ini akan menjadi lebih baik daripada tahun-tahun yang sebelumnya inshaAllah amin.

Happy Chinese New (Niu) Year kepada semua yang menyambut !

Anyway, jom layan kami ber Lou sang at home sahaja tahun ini.


Lea Razali