Biasa kalau nak memasak je saya mesti guna halia tua. Tapi tiba-tiba stok habis pula. Tau tak apa beza halia tua dengan halia muda? Jadi semalam ke pasar beli barang dapur yang dah menyusut untuk minggu depan. Tambah stok halia dengan ayam, ikan, sayur dan juga biskut untuk anak-anak. Biasanya memang saya simpan stok lebih halia tua di dapur supaya tak kelam kabut mencari apabila nak guna. Kalau nak menanam sendiri tu belum terzahir lagi. 

Anak-anak pula masa rehat antara kelas PdPR tu asyik nak mengunyah je. Kejap-kejap ke dapur cari roti ke biskut ke alas perut. Nak kata tak sarapan tak pula. Mungkin masa belajar buat perut jadi lapar agaknya. Gunakan banyak tenaga nak fahamkan pelajaran hehe.

Okey berbalik cerita pasal ke pasar tu nak cari halia tu. Masa belek-belek tu hampir semua yang dijual adalah dari jenis halia muda. Saya nak cari halia tua untuk memasak bukan halia muda. Kalau korang nak tahu halia ialah sejenis rempah berakar dengan rasa pedas serta tumbuh di negara yang bercuaca panas termasuk di Asia Tenggara, China, India, Afrika dan juga rantau Caribbean. Sebenarnya ada beza kalau masak guna halia tua atau muda nih. 

Dalam masyarakat Asia umumnya halia digunakan secara meluas untuk tujuan masakan dan juga perubatan. Antara kebaikan halia kepada kesihatan termasuklah membantu penghadaman dan menyingkirkan angin dalam badan. Selain itu halia juga sering digunakan untuk mengurangkan sakit tekak dan juga melegakan sakit kepala.


Perbezaan Antara Halia Tua dan Halia Muda :

  • Halia muda ni biasanya warnanya lebih terang dari halia tua. 
  • Halia muda juga mempunyai kulit lebih licin daripada halia tua.
  • Kalau halia tua pula mempunyai warnanya yang sedikit gelap  berbanding halia muda.
  • Halia tua juga mempunyai tekstur kulit yang lebih kasar dari halia muda.

beza halia tua dan muda
Kredit gambar : Shopee (Halia tua) , Shopee (Halia muda)

Kegunaan Halia Dalam Masakan :

Dari segi kegunaan dalam masakan halia tua lebih sesuai digunakan dalam masakan seperti jenis yang berempah seperti digunakan dalam rendang dan juga masakan yang berkuah seperti kari ayam atau daging. 

Manakala halia muda pula lebih baik digunakan dalam masakan seperti nasi ayam, masakan jenis stim seperti stim ikan dan juga bubur kerana sifatnya yang kurang pedas. 

Tapi kadangkala saya pun mana yang ada je saya guna hehe. Teringat pula masa dekat kampung kalau mak saya pesan beli halia mesti kena halia tua. Lagi-lagi kalau masa nak merendang sebelum Syawal menjelang tiba tu. Kalau tak dapat halia tua macam tak lengkap rendang daging Minang mak saya. 

Jadi korang guna halia yang mana dekat rumah? Halia muda ke halia tua?